Memahami konsep sedekah ikut syariat
DALAM meneruskan kehidupan, manusia berhadapan dengan suka dan duka yang datang silih berganti hadir sebagai ujian dan dugaan daripada Tuhan. Apa yang perlu dilakukan adalah menerima kedua-dua ujian itu dengan penuh reda dan rela. Ini kerana manusia dijanjikan ketenangan berpanjangan oleh Allah bersama orang yang sabar.
Menghulurkan bantuan ini turut ditegaskan oleh Rasulullah melalui sabda baginda: "Sesiapa yang mempunyai kenderaan melebihi dari keperluannya sendiri hendaklah bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai kenderaan dan sesiapa yang mempunyai lebihan bekalan makanan hendaklah ia bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan."
Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya ke jalan Allah adalah ibarat sebiji benih yang mengeluarkan tujuh tangkai dan setiap tangkainya mengeluarkan 100 biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah maha luas kurnia-Nya lagi maha mengetahui. Itulah mafhum ayat sebagaimana tercatat di dalam surah Al-Baqarah ayat 261.
Galakan menderma pakaian ini adalah bertepatan dengan sabda Rasulullah, yang bermaksud: "Apabila seseorang itu menukar pakaian baru, adalah baik jika dihadiahkan yang lama itu kepada orang lain." (Riwayat Tirmidzi).
Islam amat menggalakkan umatnya memberi pertolongan dan bantuan kepada orang yang susah dan orang yang memerlukan bantuan sama ada dari segi harta benda, kewangan dan sebagainya.
Ia dapat mengelakkan kita daripada mementingkan diri sendiri sebaliknya mengeratkan persaudaraan dalam Islam. Janganlah pula kita sedekahkan makanan yang sudah tamat tempoh atau yang sudah basi. Atau menderma pakaian yang memang sudah tidak boleh dipakai lagi.
Dalam keadaan biasa, kita tidak akan berasa betapa nikmat atau perlunya kepada bantuan orang lain. Tetapi, apabila kita sudah kenyang, walaupun kawan kita belanja makan tetapi nikmatnya tidak seberapa. Sedekah kita habis setakat itu saja.
Namun, jika kita bandingkan mangsa banjir yang berada dalam kesusahan sekarang. Apabila kita dalam keadaan lapar lalu diberi makanan oleh orang, sudah tentu kita berasa amat bersyukur dan gembira.
Begitu juga kepada mereka yang tidak mempunyai pakaian. Apabila menerima bantuan atau sedekah pakaian mereka amat menghargainya kerana ia menjadi barang sangat diperlukan.
Di negara kita, ada di kalangan rakyat kita yang dianugerahkan harta yang banyak oleh Allah. Oleh itu, eloklah kita menderma atau manfaatkan mana-mana yang tidak kita gunakan lagi daripada ia terus disimpan di dalam almari.
Keadaan sama dapat kita perhatikan sama ada dalam sektor kerajaan mahu pun sektor korporat. Semuanya menghulur bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir. Ia bertepatan dengan firman Allah yang menyuruh kita bantu-membantu dalam membuat kebajikan dan jangan membantu kepada perkara yang membawa kerosakan.
Bagi mereka yang suka bersedekah, ini adalah peluang bagi mereka berbuat demikian. Jangan bakhil atau takut dengan bersedekah harta kita akan berkurang atau boleh menyebabkan kita menjadi miskin.
Islam mencela golongan yang bakhil. Ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya melalui surah Ali-Imran ayat 180 yang bermaksud: "Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka kebakhilan itu baik bagi mereka. Sesungguhnya, kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhil itu akan dikalungkan kelak di lehernya di akhirat kelak."
Terdapat juga tafsiran mengatakan menghubungkan silaturahim itu boleh memanjangkan umur. Ia bukanlah bermaksud umur kita bertambah dengan menghubungkan silaturrahim tetapi apa jua kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan selalu disebut-sebut.
Walaupun jika dia mati, namun apabila anaknya berjumpa dengan orang yang berkenaan, mereka akan berkata, Arwah bapa kamu dulu selalu datang ziarah atau suka bersedekah.
Bagaimanapun, dalam bersedekah atau apa juga yang kita lakukan, ia perlu dibuat secara sederhana. Jangan terlalu ghairah bersedekah jika ia hanya bertujuan untuk menyerlahkan kemewahan yang dimiliki, atau sekadar inginkan publisiti murahan di media massa.
Sedekah dan derma seperti itu tidak akan membawa erti dan tidak memperolehi sebesar-besar ganjaran dijanjikan sebagaimana mafhum ayat al-Quran yang dinyatakan di atas.
Sumber : Berita Harian, 8 Febuari 2007 (Agama)
|