RAMAI bertanya saya berkenaan hukum urusniaga ‘forex’ (dagangan tukaran mata wang asing) yang dibuat melalui Internet.
Tahniah saya ucapkan bagi mereka yang masih lagi memikirkan perihal halal dan haram dalam pendapatan mereka.
Kesan pendapatan haram dalam diri seseorang sungguh besar, disebutkan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis sahih, doa orang yang menggunakan harta haram dalam pakaian, makanan dan minuman mereka ditolak. Tanpa doa, seseorang sukar mendapat keselamatan di dunia dan akhirat.
Bagi mengulas isu forex trading ini, anda perlu memahami dua jenis cara memb-a-bitkan diri dalam dunia forex ini iaitu:
1. Melabur wang ringgit anda ke dalam satu syarikat yang memperoleh untung melalui Forex.
2. Melantik satu platform atau syarikat untuk menjalankan jual-beli wang asing dan simpan.
Semua transaksi dijalankan oleh anda sendiri, syarikat hanya menyediakan platform dan mengambil upah perkhidmatan.
Hukum bagi melabur dalam syarikat yang menjalankan Forex
Forex adalah satu jenis perdagangan/transaksi yang memperdagangkan mata wang sesebuah negara terhadap mata wang negara lainnya yang memba-bitkan pasar mata wang utama di dunia selama 24 jam secara berterusan.
Benar, memang Forex mata wang diharuskan, tetapi keharusannya tertakluk kepada sejauh mana ia menurut garis panduan yang dikeluarkan daripada hadis Nabi yang sahih.
Ditukar (serah dan terima) dalam waktu sama ia disebut dalam hadis sebagai ‘yadan bi yadin’.
Dalam bahasa Inggerisnya adalah ‘pada asas semerta’. Ia datang banyak hadis, antara yang paling utama adalah:
“Emas dengan emas (ditukar atau diniagakan), perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mesti sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus (pada satu masa) dan jika berlainan jenis, maka berjual belilah kamu sebagaimana yang disukai’ Riwayat Muslim, no 4039 no hadis, 11/9).
Nabi juga bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berkata: Pertukaran antara perak dan emas adalah riba, kecuali jika ia dilakukan secara serentak (serah terima dalam satu masa)’ (Riwayat Muslim, no 1586, 3/1209).
Pembelian secara hutang daripada satu antara dua pihak adalah haram berdasarkan hadis bermaksud: “Rasulullah SAW melarang dari menjual emas dan perak secara berhutang” (Riwayat Al-Bukhari, no 2070, 2/762).
Hadis di atas menyebut perihal disiplin Islam dalam pertukaran emas dan perak. Untuk maklumat, ulama bersepakat bahawa mata wang (not bank) juga sama disiplinnya dengan emas dan perak disebabkan nilai dan fungsinya sebagai perantara tukaran.
Justeru, setiap disiplin dan syarat transaksi yang memba-bitkan emas dan perak juga terpakai pada urusan transaksi mata wang.
Demikian keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa dan juga Majlis Kewangan Islam Antarabangsa di bawah Accounting and Auditing Organization For Islamic Institutions (AAOIFI).
Forex dalam mata wang yang diuruskan syarikat konvensional pasti tidak akan menjaga syarat ini kerana kebanyakan Forex yang dijalankan institusi konvensional adalah ‘Forward Forex’ atau Forex yang menggunakan nilai masa depan yang tergolong dalam Riba Nasiah.
Mereka juga kerap menggunakan SWAP, Opsyen dan lain-lain instrumen yang tidak halal di sisi syariah.
Instrumen tadi tidak memenuhi syarat Islam iaitu serah terima atau disebut ‘qabadh’ dalam Islam secara benar ‘hakiki’ atau ‘hukmi’ pada waktu sama.
Masalah dalam pelaksanaan Forex adalah bertangguh dalam penyerahan kedua-dua pihak. Tatkala itu, akad menjadi batal (Radd al-Muhtar ala ad-durr, 4/531).
Saya tidak nafikan sesetengah Institusi Kewangan Islam melakukan forex ini selepas mendapatkan kelulusan Majlis Penasihat Syariah mereka.
Namun, semua mereka hanya terba-bit dalam Forex jenis ‘Spot’ dan bukan jenis ‘Forward’.
Jika adapun, jenis forward ia menggunakan konsep Al-Wa’d atau ‘Unilateral Promise’ dan ia sudah sepakat keharusannya.
Yang pasti, majlis syariah mereka meletakkan beberapa syarat dan bukan secara bebas begitu saja.
Justeru, melabur modal (bererti anda melabur dan kemudian tunggu untung saja) dan dalam institusi kewangan konvensional yang memperoleh untung melalui cara Forex hukumnya tidak halal di sisi Islam. Ia keputusan Panel Penasihat Syariah dunia yang bernaung di bawah AAOIFI.
Antara panel penasihat syariahnya adalah Syeikh Mufti Taqi Uthmani; Prof Dr Syeikh Wahbah Zuhayli; Prof Dr Syeikh Siddiq Dharir; Syeikh Abdullah al-Mani’; Dr Abd Sattar Abu Ghuddah; Syeikh Dr Nazih Hammad; Syeikh Dr Hussain Hamid Hassan; Syeikh Nizam Ya’quby; Dr Mohd Daud Bakar; Syeikh Al-Ayashi al-Sadiq Faddad; dan Syeikh Dr Ajil Nashmi.
Hukum urus niaga Forex yang diniagakan sendiri melalui platform Internet
Bagi mengetahui hukum bagi bentuk kedua ini, pertamanya ia tertakluk kepada:
a. Kesahihan dan kewibawaan syarikat platform daripada sudut lesennya dan pengenalannya.
Ia diperlukan bagi mengelak anda ditipu oleh platform syarikat yang tidak sebenar.
Butiran terperinci berkenaan platform ini mesti diteliti dan boleh diperoleh. Jika tidak, transaksi anda adalah subahat dari awal lagi kerana wujud unsur gharar.
b. Jika platform itu punyai wibawa dan lesen, serta info yang mencukupi, perkara kedua adalah menilai akta berkaitan aktiviti ini daripada badan berwajib di Malaysia.
Ini perlu bagi memastikan anda tidak terba-bit dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang negara.
Jika dua syarat di atas lulus, saya kira transaksi jual mata wang asing dan simpan dan kemudian jual semula apabila harga tukaran naik adalah harus menurut hukum asalnya kerana ia secara automatik dilaksanakan menurut kaedah ‘spot’.
Bagaimanapun, kita perlu sama-sama memahami dan menyemak bagaimana proses ini dilakukan secara ringkas dan melihat pandangan Islam mengenainya.
>>BERSAMBUNG MINGGU DEPAN
sumber:
myMetro