Tuduhan Terhadap Anwar Benar
PETALING JAYA: Seorang lagi bekas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S Nallakaruppan semalam, tampil membuat pendedahan mengenai pelbagai pembohongan yang pernah dibuat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Nallakaruppan yang kini Presiden Parti Bersatu India Malaysia, berkata, Anwar memang seorang yang hebat berkata-kata dan berpidato tetapi apa saja yang diucapkannya adalah tidak benar dan pembohongan semata-mata.
Malah, katanya semua tuduhan yang dilemparkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Anwar adalah benar, tetapi dia begitu licik memutarbelitkan semuanya untuk mengabui mata orang ramai sehingga dilihat tidak bersalah.
Nallakaruppan yang pertama kali tampil membuat pendedahan mengenai Anwar berkata, beliau tidak berniat menyerang peribadi penasihat PKR itu, tetapi sudah tidak tahan melihat rakyat terus tertipu dengan janji kosong yang hanya untuk memenuhi impiannya menjadi Perdana Menteri.
Kelmarin, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Prof Dr Chandra Muzaffar membuat pendedahan mendakwa Anwar sebenarnya umpama sesumpah, kerana sentiasa boleh berubah imej mengikut keperluan kepentingannya.
Dr Chandra yang berkerusi roda dan pernah menjadi antara penyokong paling kuat Anwar, berkata beliau membuat pendedahan itu kerana tidak mahu rakyat terus terpedaya dengan helah bekas pemimpin ter****t.
Nallakaruppan juga mengakui Anwar seorang yang hebat berkata-kata, tetapi apa saja yang diucapkannya adalah tidak benar dan penipuan malah sering menukar semua kenyataan Dr Tun Dr. Mahathir untuk disampaikan kepada rakyat.
Beliau turut mendedahkan bagaimana Anwar menjadi pemimpin ‘de facto’ untuk PKR, walaupun ketika itu masih menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh dengan mengawal semua urusan parti menerusi isterinya yang juga Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
|