bersambung ....
Terus terang saya tak cukup duit untuk selalu ke cyber cafe dan publish artikel motivasi seperti yang saya janjikan, selama beberapa hari akan datang, beberapa minggu akan datang, mungkin juga beberapa bulan akan datang. Melainkan, keajaiban berlaku dan bantuan muncul tiba-tiba.
Saya tak menyesal menjadi seorang Internet Marketer, bahkan saya telah merintis jalan yang orang lain tak pernah buat dan mungkin takkan buat atau tak terfikir nak buat. Takkan ada yang sangup melakukan apa yang telah saya dah mulakan. Jika Anda perasan selama ini dan mengikuti perkembangan blog saya, Anda akan faham apa yang saya maksudkan.
Tekanan yang melanda saya memang menghimpit, bagaikan menanggung beban dua biji batu sebesar rumah banglo di kedua-dua belah bahu saya. Memang berat, tapi saya kena bersabar dan sedaya upaya yang mungkin cuba membuang tekanan yang ada, sebab kalau asyik memikirkannya akan menarik lebih banyak lagi masalah.
Saya tak meminta apa-apa simpati, bukan itu niat saya menulis di sini. Anda perlu bersyukur, kerana Anda tidak melalui kesusahan sepertimana saya sekarang. Jika simpati terbit dari emosi Anda, saya bersyukur kerana itu ibarat doa dari Anda buat saya.
Saya tak meminta musibah ini, saya juga tak pernah terfikir kesusahan ini akan berlaku pada saya, tapi ia hampir membuat saya hilang pertimbangan, kewarasan dan kematangan. Saya terkepit, terhimpit, tersepit di lorong masalah yang cukup sempit.
Doakan saja supaya keajaiban berlaku dan membuat saya boleh online seperti biasa, berkhidmat semula untuk Anda, menulis semula artikel-artikel motivasi untuk menaikkan semangat Anda dan terus membantu mereka yang memerlukan inspirasi di kala menghadapi kesukaran emosi, seperti yang saya alami sekarang ini. Sesusah-susah saya, ada lagi yang lebih susah dari saya.
Saya dedahkan sedikit perancangan saya untuk perkongsian kita bersama. Saya memasang mindset mahu menjadi ProBlogger dalam bahasa Melayu dan berblog sepenuhnya mengenai topik motivasi, pembangunan diri dan hal-hal minda. Saya lebih suka menulis artikel dari menjual barang, mempromosi penjualan eBook mahupun software di Internet. Namun, perjalanan menuju impian saya terhenti.
Terus terang saya mahu bersaing dengan blog SultanMuzaffar yang berblog untuk Astro, manakala saya pula berblog untuk segmen-segmen motivasi dan segalanya yang berkaitan motivasi, pembangunan diri dan yang berkait dengannya. Saya percaya dengan kerajinan, ilmu dan sokongan Anda, saya mampu mencapai impian saya kurang dari setahun. Sebelum masalah melanda, jalan ke arah impian itu dah nampak.
Saya memasang impian mahu bernaung syarikat Telaga Biru, berblog sepenuh masa untuk mereka dan diberi peluang berjumpa pakar-pakar motivasi idola saya yang kebanyakannya bernaung di bawah penerbitan Telaga Biru. Dari Dr Shukri Abdullah hingga ke Irfan Khairi, hampir kesemua pakar motivasi Malaysia berada di bawah naungan Telaga Biru.
Saya mahu berjumpa Zamri Mohammad, Amin Idris, Ahmad Fazli Yusof, Dr Tuah Iskandar dan Dr Irfan Khairi sendiri, mereka ni memberi inspirasi dalam usaha mencapai impian saya, walaupun mereka takkan kenal saya yang berada di antara ribuan bahkan jutaan peminat mereka.
Walaupun di blog ini saya tak mendapat apa-apa pendapatan lumayan dengan menulis artikel motivasi, saya melakukannya dari hati, percuma untuk Anda, straight from the heart.
Saya berdoa moga keajaiban berlaku dalam beberapa hari ini dan Internet saya dapat disambungkan semula, hanya berdoa usaha terakhir yang mampu saya lakukan, saya dah takde sumber lain lagi.
Saya telah mengaplikasikan semua ilmu minda yang saya pelajari, namun saya tak dapat berbuat begitu dikala emosi saya 'down' .. saya perlu mengubahnya. untuk mengubahnya, saya perlukan ketenangan. Untuk mendapat ketenangan, saya berkongsi rahsia kelukaan ini bersama Anda.
Sory, maafkan saya, artikel ini lebih panjang dari yang biasa dan lebih pilu dari yang biasa.
Semua masalah berlaku secara tiba-tiba diluar kawalan saya. Anda takkan dapat bayangkan kesusahan yang saya alami dan tahap emosi saya yang hanya nampak masalah, saya berdoa moga keajaiban muncul.
Kalau Anda di tempat saya, perit untuk menanggung derita ini. I need help. Hanya Allah yang tahu betapa tertekannya saya.
Jika air mata Anda mengalir membaca post ini, ketahuilah itu harapan Anda untuk saya kembali semula, juga sebagai bukti nama saya terukir teguh di hati Anda. Saya takde sesiapa ketika ini, syukur Anda ada membaca luahan perasaan saya. Terima kasih..
Dikala kawan-kawan lain mendapat hasil lumayan dari bisnes Internet masing-masing, saya pula terpaksa gulung tikar dan hanya mampu terkelip-kelip mata melihat pencapaian mereka sedangkan saya tak boleh buat apa-apa bahkan terhalang untuk melakukan apa-apa.
Sepatutnya, saya boleh mencapai hasil setaraf mereka, namun, cabaran datang tanpa di duga. Apa daya saya..
Saya mendoakan yang terbaik buat Anda, kawan-kawan dan rakan-rakan usahawan Internet yang lain, pilu di hati ini Allah saja yang tahu.
Ini perkara serius. Semua link ke site partner saya kekalkan 7 bulan lagi selepas 15 Feb 2008 dan takkan diubah, sehingga saya kembali semula walaupun melebihi 15 Feb 2008. Masalah kewangan menghalang kemajuan saya, kerajinan saya dan semangat membara untuk merealisasikan impian saya.
Ini pengakuan yang sejujur-jujurnya, saya kena kumpul duit untuk sambung semula talian Internet streamyx saya. Tak ada sesiapa membantu, saya terpaksa melakukannya melalui proses ini.
Usaha sebegini memakan masa, mungkin berminggu atau berbulan lamanya sehingga duit cukup sebanyak RM154 (RM77 x 2 bulan) untuk saya sambung semula talian Internet saya. Sekali lagi, masa tidak berpihak pada saya.
Moga tips-tips motivasi tulisan saya sebelum ini memberi manfaat untuk Anda. Rajin masuk ke sini takkan membuat Anda rugi, kerana semuanya saya tuliskan khusus untuk Anda. Ia ikhlas dari saya, terima ia dan moga ia membantu memotivasikan Anda.
Saya bersyukur kerana diberi peluang menulis untuk Anda, satu penghormatan yang takkan saya dapat ditempat lain sebagai seorang penulis dan juga sesuatu yang takkan saya perolehi tanpa Anda sebagai pembaca blog saya.
Blog Motivasi Pembangunan Diri ini 'hidup' kerana adanya Anda, sokongan Anda dan kesetiaan Anda. Saya cukup kagum dengan Anda dan saya menghargai itu semua, saya tak tahu nak balas cemana.
Namun, saya menghadapi dugaan yang hebat tanpa sesiapa yang boleh saya harapkan membantu di saat ni. Hanya keajaiban yang boleh menyelamatkan saya. Umpama belayar seorang diri dilautan luas tanpa nampak penghujungnya, melainkan bantuan muncul tiba-tiba.
Takkan ada makna saya menulis tanpa ada sesiapa yang membaca dan mendapat inspirasi daripadanya. Anda membuat idea-idea penulisan saya mencurah-curah datang.
Anda juga menjadikan minat dan obsesi saya pada motivasi tak sia-sia, bahkan menjadikan blog saya unik, lain dari yang lain, popular dalam masa yang singkat serta disegani ramai.
Ini membuatkan diri saya, blog saya dan stail penulisan saya tak ada duanya. Atas sokongan Anda selama ini, terima kasih.
Sebab itu saya menjadikan moto "Your Motivation, Our Inspiration" sebagai subtitle blog ini, sebenarnya itulah yang menjadi sumber ilham saya untuk rajin menulis, serajin yang mungkin sebagai usaha membalas sokongan Anda yang tak ternilai harganya.
Maaf di atas segala kesilapan, tersalah eja, tersalah taip, terkasar bahasa dan info yang tidak berapa tepat atau tidak berapa betul. Maafkan segala kesalahan saya yang tersurat mahupun yang tersirat.
Selamat berpuasa dan salam ukhwah.
Moga Ramadhan kali ini membawa rahmat dari yang sebelumnya.
.. dan moga Aidlfitri yang datang kali ini membawa kemeriahan, lebih meriah dari yang sebelumnya. Doa saya mengiringi kesejahteraan Anda.
Wassalam.
Mohd Shukri Abdullah
|